Warga emas mati dalam longkang, sepasang kekasih didakwa di mahkamah

0
202

SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret, di Melaka pada Selasa, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di tepi jalan di Ayer Keroh, April lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dan teman wanitanya, Noorbaizura Mohd Fuad, 34, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mereka didakwa secara bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, Tan Kue Seng, 71, kira-kira jam 7 pagi sehingga 9 pagi di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh di Melaka pada 9 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Muhammad Faris didakwa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merompak warga emas berusia 69 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera dan melarikan beg tangan seorang wanita berusia 34 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Kota Laksamana pada 22 Mac 2023 dan di Taman Kesidang, di Melakapada 8 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat bagi hukuman di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan. Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 11 April lalu melaporkan kebimbangan keluarga terhadap seorang lelaki warga emas yang tidak pulang ke rumah berakhir apabila ditemui mati dalam longkang di Jalan Gapam.

Mayat Tan Kue Seng ditemukan oleh warisnya bersama motosikal jenis Demak EX90 yang ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah di Taman Ozana Impian, Bukit Katil, di sini pada jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kehilangan warga emas itu, mangsa sempat memberitahu anaknya mahu ke sebuah kedai kopi di Bemban Jasin untuk bersarapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here