Penonton TikTok ditegur kerana sentuh isu 3R, kata Fahmi

0
178

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyangkal laporan yang menyatakan beliau mengancam mengambil tindakan terhadap penonton siaran langsungnya di TikTok kerana menyiarkan komen mengkritik dirinya dan kerajaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Berkenaan 3R, saya hanya mengulangi apa yang pernah saya sebut,” katanya memetik laporan FMT.

“Sama dengan apa (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail katakan sebelum ini. Saya ingatkan agar orang ramai tidak buat komen-komen 3R yang bersifat menghasut.

“Apabila saya buat ‘live’ Tiktok dalam acara, selalu komen yang ditinggalkan (penonton) sentuh 3R. Saya dah selalu cakap, pengguna media sosial tidak patut perguna 3R untuk tujuan politik.”

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan selepas dua jam sesi siaran langsungnya berjalan di TikTok, menteri itu menegur penonton kerana mengejeknya dan mempersoalkan dasar kerajaan.

Menerusi sesi live di TikTok yang dihoskan oleh Fahmi malam tadi, dikatakan berakhir dengan menteri komunikasi dan digital itu mengancam penontonnya dengan tindakan pihak polis kerana membuat naik komen mengkritiknya dan kerajaan campuran.

Fahmi yang mengadakan sesi secara langsung selama lebih dua jam di platform media sosial itu dilihat menerima komen negatif termasuk mempersendakannya serta mempersoalkan banyak dasar kerajaan.

“Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

“Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda),” kata Fahmi, mengugut penonton dengan tindakan yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Komen yang membanjiri sesi secara langsung ahli politik menjadi kebiasaan sebagai sebahagian daripada trend kempen secara dalam talian.

Kemarahan Fahmi terhadap pengkritiknya bukanlah kali pertama ahli Parlimen PKR itu mengancam untuk menutup mulut pengkritiknya.

Pada Mac, beliau mendapat kecaman selepas mengamuk di media sosial berhubung laporan akhbar Berita Harian mengenai kemungkinan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), dan mengumumkan beliau akan bertemu pengurusan akhbar tersebut.

Fahmi menerima kritikan umum sejak memegang portfolio menterinya, beliau mempersoalkan segala-galanya daripada dapatan tinjauan 100 hari pertama kerajaan hinggalah menuduh platform media sosial sengaja mempromosikan kandungan pembangkang.

“Saya akan berjumpa dengan akhbar berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

“Adakah mereka cuba melakukan promosi atau menipu rakyat?” katanya pada 1 Mac, memberi reaksi kepada tinjauan bersama lima media tempatan yang mendapati hanya 27% responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here