PAS tanding 13 kerusi di PRN Negeri Sembilan

0
164

PAS dijangka bertanding di 13 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, akan datang.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata itu antara keputusan pembahagian kerusi yang sudah dipersetujui dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

“PAS dijangka diberikan sebanyak 13 kerusi DUN manakala BERSATU lebih sedikit daripada itu, namun jumlah sebenar BERSATU dan GERAKAN bertanding akan diumumkan oleh Pengerusi PN negeri, tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, kerusi mana akan ditandingi PAS belum ditentukan sehingga hari penamaan calon,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor BH Online.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, dilaporkan berkata parti itu akan bertanding di 83 kerusi DUN, manakala PAS di 126 kerusi dan GERAKAN di 36 kerusi.

Sementara itu, Rafiei yang juga Timbalan Pengerusi PN negeri berkata, parti itu menyenaraikan seramai 30 calon kepada pucuk pimpinan tertinggi.

“Daripada 13 kerusi DUN itu, kita (PAS) telah hantar lebih kurang 30 nama sebagai calon.

“Pada asasnya tiga nama calon bagi setiap DUN, namun ada beberapa DUN hanya menghantar satu nama,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang dicalonkan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional selain mereka yang bertanding di peringkat kerusi Parlimen pada PRU15, November lalu.

“Keputusan sama ada mereka terpilih sebagai calon akan diputuskan oleh Majlis Syura PAS,” katanya.

Rafiei tidak menolak kemungkinan pemimpin Muafakat Nasional (MN) turut dicalonkan mewakili PN pada PRN yang dijangka diadakan sekitar Ogos tahun ini.

Terdahulu, Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 28 Jun bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran DUN pada 30 Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here