Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pukul isteri guna kayu golf, lelaki mengaku tak salah -

Pukul isteri guna kayu golf, lelaki mengaku tak salah

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas tuduhan memukul isterinya menggunakan sebatang kayu golf, baton besi dan kayu buluh sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Azwan Azman, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, lapor Sinar Harian.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang kemas penginapan hotel didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah pada isterinya berusia 28 tahun dengan menggunakan sebatang kayu golf, sebatang baton besi dan sebatang kayu buluh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, Melaka, pada 3.30 pagi, 19 Jun lalu.

Azwan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah yang mewakili tertuduh merayu Azwan dibebaskan dengan jaminan rendah kerana ibunya hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM4,000.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari membantah jaminan diberikan kerana mengambil kira kecederaan parah dialami mangsa.

Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 1 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.