Terengganu ikut jejak Kelantan mundur jika PAS terus tadbir – Mat Said

0
313

TERENGGANU bakal mengikut jejak langkah negeri jirannya, Kelantan yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan jika PAS terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada PRN akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Ahmad Said, berkata perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada PRU14.

“Tiada pembangunan, tiada apa-apa (bawah pimpinan PAS), tetapi orang Kelantan tiada masalah sebab mereka boleh cari kerja di Kuala Lumpur, orang Terengganu dia tak berapa nak keluar sangat. Jadi, mereka akan jadi mangsa. Tengok di Kelantan, isu air sudah hampir 30 tahun pun belum selesai.

“Dalam PRU15 rakyat beri peluang PAS menang 8-0 (menang semua kerusi Parlimen Terengganu) dan apa rakyat dapat? Tiada menteri atau timbalan menteri dari negeri ini dan tiada peruntukan untuk negeri. Siapa yang rugi? Rakyat rugi tiada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PRN BN Terengganu malam tadi.

Ahmad berkata, rakyat Terengganu akan menerima lebih banyak kemudahan jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat daripada gabungan parti sama, terutama dalam isu menerima peruntukan untuk pembangunan negeri.

“Sebab itu kita nak rakyat Terengganu bertukar, dalam PRN kali ini beri semula (mandat) kepada BN. Banyak benda kita sudah rancang untuk dibuat…Terengganu bawah PAS dengan dua menteri besar dari Marang (Abdul Hadi Awang dan Ahmad Samsuri Mokhtar), apa orang Marang dapat?.

“Kita harap pengundi Umno sedar perkara ini dan jangan lagi digula-gulakan (dengan politik wang). Sebab kita mahukan pembangunan untuk Terengganu yang ada potensi pelancongan ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai agihan kerusi antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, ia sudah lama selesai namun keputusan akhir belum ditentukan pucuk pimpinan parti.

Terdahulu, Ahmad dilaporkan media sebagai berkata rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri untuk 32 DUN Terengganu dalam kalangan parti dalam kerajaan perpaduan diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

Pengarah Pilihanraya PKR negeri Ahmad Sabri Ali sebelum ini pula dilaporkan berkata pihaknya meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi PKR pada PRN akan datang.

-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here