Wakil rakyat Ketereh nafi ‘pergaduhan’ Muhyiddin, Hamzah mengenai masa depan parti

0
158

SEORANG Ahli Parlimen Bersatu menafikan dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin berselisih mengenai hala tuju parti.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, yang namanya disebut-sebut pengganti Hamzah sebagai ketua pembangkang, berkata dakwaan itu sengaja dibuat oleh seteru.

“Itu semua khabar angin nak hancurkan PN,” katanya, lapor FMT.

“Parti lawanlah yang buat khabar angin ini. Mereka ada penulis-penulis blog mereka juga. Saya tahu ada sangkut paut dengan saya, kononnya (nak lantik) saya ketua pembangkang.”

Semalam, sumber Bersatu memberitahu FMT bahawa Muhyiddin dan Hamzah tidak sependapat mengenai hala tuju parti, dan berselisih tentang bagaimana Bersatu dan PN sepatutnya beroperasi, naratif apabila menentang parti pemerintah, dan kerusi mana yang akan ditandingi pada PRN akan datang.

Dakwaan itu menyusul laporan media baru-baru ini bahawa Bersatu sedang mempertimbangkan Khlir atau Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim sebagai pengganti Hamzah.

Sumber juga mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam parti.

Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi “poster boy” untuk Bersatu, dikatakan terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.

Khlir menafikan Muhyiddin dan Hamzah berselisih mengenai peranan Azmin.

“Tak, tak, itu salah. Azmin bagus. Azmin jaga parti bagus,” katanya, dan menambah Bersatu tidak pernah bincang tentang menukar ketua pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here