Warga Selangor sambut baik inisiatif pusat jagaan kanak-kanak

0
320

INISIATIF Perikatan Nasional (PN) membina pusat jagaan kanak-kanak jika berjaya menawan negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang disambut baik golongan penjawat awam negeri itu.

Rata-rata mengharapkan supaya pusat jagaan anak-anak dibina di setiap pejabat atau premis berdekatan bagi memudahkan golongan ibu khususnya memantau perkembangan anak mereka secara dekat.

Bagi pembantu tadbir, Masfufah Sahil,38 berkata, Hasrat PN wajar kerana kebelakangan ini ramai golongan ibu bekerja terpaksa berhenti kerja disebabkan faktor anak serta pengasuh yang kurang dipercayai.

“Kebelakangan ini banyak isu terjadi misalnya penderaan kanak-kanak dan taska tidak berdaftar. Namun perlu diingat,sebelum bina pusat jagaan kanak-kanak itu, perlu juga guru terlatih dan bukan ambil yang tiada langsung pengetahuan asas.

“Misalnya setiap penjaga perlu ada sekurang-kurangnya asas pendidikan awal kanak-kanak supaya anak-anak kita lebih terjaga dan terjamin,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

Bagi Nurul Amira Razaly, 32, pula berkata hasrat pembinaan pusat jagaan kanak-kanak sememangnya dinantikan dirinya sebagai ibu yang bekerja.

Menurut Penolong Jurutera yang berasal dari Shah Alam,Selangor itu lagi, buat masa ini anak bongsunya yang berusia 10 bulan dijaga pengasuh yang agak jauh dari pejabatnya.

“Sebagai ibu, saya mahu lihat anak membesar di depan mata dan sebagai ibu yang bekerja, sudah pasti saya mahu pejabat atau premis yang menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak supaya saya boleh bekerja dalam keadaan lebih tenang dan fokus.

“Saya harap usaha ini akan diteruskan dan diperluas di tempat yang strategik terutama kawasan luar bandar di mana kebanyakan rumah pengasuh agak jauh dari pejabat,” katanya.

Nur Hazwani Kazeri,32 pula berkata, dia sudah lama menantikan inisiatif seperti itu kerana mahu bekerja dalam keadaan lebih tenang.

“Setiap ibu pasti mahu yang terbaik untuk anak mereka. Inisiatif pusat jagaan kanak-kanak amat diperlukan pada masa ini kerana kebanyakan kaum ibu mempunyai karier sendiri.

“Jika anak mereka dihantar di tempat yang lebih selesa,dekat serta yuran yang berpatutan disamping pemantauan daripada tenaga pengajar bertauliah, pasti akan memberikan persekitaran lebih kondusif buat ibu dan anak,” katanya.

Semalam,media melaporkan, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PN akan membina pusat jagaan kanak-kanak jika diberi mandat mentadbir negeri itu pada PRN akan datang-SB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here