Pengasuh, pemilik taska dituduh kasari bayi

0
142

SEORANG pengasuh ditahan kerana mengasari bayi di sebuah pusat asuhan di Taman Samudera, Batu Caves seperti tular dalam media sosial kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu bayi tersebut pada 21 Mei lalu selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada paha dan pipi anaknya.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Mei lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di taman berkenaan.

“Polis telah menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun yang merupakan pengasuh di pusat jagaan tersebut.

“Kes disiasat bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak – Kanak 2001, Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak – Kanak 1984 dan Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan Dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 kerana menjalankan operasi pusat jagaan tanpa lesen yang sah,” katanya menerusi kenyataan.

Menerusi satu video tular berdurasi satu minit 32 saat itu memaparkan perbuatan wanita terbabit yang dilihat beberapa kali menampar dan menekup muka seorang bayi yang sedang menangis.

Katanya, suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 30 Mei lalu di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pemilik pusat jagaan tersebut turut telah dituduh di bawah Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Suspek tidak mengaku salah dan sebutan kes pada 7 Ogos 2023.

“Selain itu, bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 1,000,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here