Kejatuhan ringgit: Sektor peruncitan, makanan terjejas

0
160

SEKTOR peruncitan serta makanan dan minuman akan terjejas sekiranya ringgit terus menjunam berbanding mata wang asing, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, ini kerana kuasa berbelanja pengguna yang semakin berkurangan akibat keadaan ekonomi semasa.

Katanya, ketidaktentuan mata wang tidak baik untuk ekonomi ataupun perniagaan.

“Walaupun ada pengilang dan pengeksport yang melaporkan kenaikan permintaan ekoran kejatuhan ringgit, tetapi kos bahan mentah, terutamanya yang diimport turut akan naik.

“Kebanyakan perniagaan bukan bergantung kepada permintaan seperti ini, tetapi lebih memerlukan ketentuan dari segi kos dan harga jualan supaya kami dapat menjangka dan merancang dengan lebih tepat operasi serta pengeluaran kami,” katanya.

Menurut beliau, keadaan ini akan menyebabkan keyakinan pengguna akan merosot seperti ketika dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perkara ini bakal memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan mencari jalan untuk menstabilkan ringgit,” ujarnya.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit diniagakan pada 4.5990/4.6050 berbanding dolar Amerika Syarikat, naik sedikit daripada 4.6130/4.6180 pada penutupan kelmarin.

Mata wang negara mengalami penyusutan berikutan isu penetapan had siling hutang di Amerika Syarikat (AS) yang masih berlanjutan.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tekanan terhadap ringgit diharap dapat dikurangkan dengan penyelesaian kemelut isu siling hutang di AS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here