Imigresen pertahan tindakan pegawai ‘pecah masuk’ rumah warga emas

0
188

JABATAN Imigresen mempertahankan tindakan pegawainya yang memecah masuk ke dalam pangsapuri pasangan warga emas di Kuala Lumpur semasa serbuan rutin pagi semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, proses serbuan tersebut dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa yang ditetapkan.

“Pegawai imigresen bertindak atas aduan yang dibuat ke atas unit kondominium pasangan itu dan telah mengetuk pintu mereka selama 10 hingga 15 minit tetapi tiada jawapan.

“Apabila pegawai melihat banyak selipar di luar rumah, dan tiada sesiapa yang membuka pintu, kami memecahkan pintu itu.

“Dakwaan bahawa kami tidak memperkenalkan diri adalah tidak benar. Apabila kami mengetuk pintu itu sendiri, kami memperkenalkan diri dari Jabatan Imigresen.

“Kami mempunyai SOP apabila kami memasuki rumah. Kami bertindak berdasarkan aduan dan maklumat. Kami beruniform, bukan baju biasa. Jadi mustahil perkara ini (tidak mengenal pasti diri kami) berlaku,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Syamsul berkata, pegawainya akan berhubung dengan pemilik rumah untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita perlu bercakap dengan pemiliknya terlebih dahulu untuk melihat apa ceritanya. Kami akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pintu itu akan diganti dan pampasan akan diberikan, Syamsul berharap ia dapat dilakukan tetapi berkata: “Kami perlu bercakap dengan pemiliknya. Dan jika mereka bersetuju, kami berharap mereka akan menarik balik laporan polis mereka.”

Dalam kejadian pukul 3 pagi semalam di Kondominium Putra Majestic, pasangan warga tempatan itu berkata seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai imigresen memecah pintu unit kondominium mereka dan menyerbu masuk ke dalam bilik tidur mereka.

Pasangan itu memberitahu FMT, lelaki itu mengarahkan mereka untuk menunjukkan MyKad mereka tetapi mendakwa dia tidak memberikan sebarang bentuk pengenalan diri.

Mereka kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebelum menghubungi pihak imigresen berhubung serbuan itu.

Polis telah merujuk semula kes itu ke Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here