2 penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas ubah haluan

0
129

DUA penunggang motosikal maut dirempuh kereta selepas mengubah haluan secara tiba-tiba di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan hala Kuantan, di Kuantan pukul 7.52 pagi tadi.

Mangsa merupakan Yusof Ibrahim yang berusia 58 tahun dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan manakala seorang lagi mangsa, Ismail Jaafar, 61, belum dikenal pasti alamatnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa terbabit menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Gebeng ke Kuantan.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian berhampiran Depoh Alam Flora, Kuantan, motosikal mangsa dikatakan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, mayat kedua mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

“Kereta jenis Nissan Almera berkenaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dan akibat kejadian itu dia mengalami cedera di dada, katanya lapor Berita Harian.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai sebarang lesen memandu manakala cukai jalan motosikal terbabit juga sudah tamat tempoh tiga tahun lalu.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here