Akui sajalah PH-BN sudah kalah di Kedah

0
252

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG teman baru-baru ini bersembang santai dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kedah.

Berdasarkan kenyataan dan lenggok ‘YB’ itu, rakan tersebut membuat kesimpulan bahawa YB berkenaan sebenarnya sudah bersedia untuk menerima hakikat bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang didokongnya (termasuk dirinya sendiri), akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tidak berapa hari selepas mendengar cerita kawan saya itu, timbul pula laporan dari sebuah portal memetik kenyataan seorang pemimpin UMNO Bahagian di Kedah yang enggan dinamakan, menyatakan bahawa UMNO Kedah sudah kehilangan kira-kira 40 peratus sokongan akar umbi.

Kenyataan itu kemudiannya disanggah kepimpinan UMNO negeri yang mempersoalkan mengenai bukti dakwaan tersebut.

Ya betul, memang buktinya sukar ditunjukkan oleh sesiapa pun.

Siapa yang boleh bertanya kepada seorang demi seorang ahli UMNO di Kedah yang mereka sememangnya sudah beralih hati memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor?

Tetapi petanda betapa sokongan rakyat Kedah sudah kian menurun kepada BN dan PH itu memang ada. Usahlah dinafikan perkara itu kerana petunjuknya cukup jelas terutamanya bersandarkan majlis mahu pun himpunan yang diadakan kedua-dua pihak.

Keadaan dalam dewan yang lompong di sana-sini sewaktu Pengerusi PH negeri, Datuk Mahfuz Omar menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah, baru-baru ini.

Bermula dengan Himpunan Madani yang menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid serta barisan menteri-menteri pada 28 April lalu di Stargate, Alor Setar.

Berapa ramai saja yang hadir ke majlis tersebut biar pun himpunan berkenaan diserikan dengan kehadiran dua penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search?

Tidakkah PH dan BN malu dengan jumlah kehadiran ke majlis tersebut meskipun penganjurannya diuar-uarkan secara meluas di media perdana dan sosial, ketika penganjurannya juga hanya sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang turut dicanang secara meluas?

Berbeza dengan kehadiran sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat seminggu selepas itu puluhan ribu manusia memenuhi Kompleks Pas di Kota Sarang Semut. Selain itu sambutan menggalakkan turut diterima PN pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN di Padang Awam Guar Chempedak pada 13 Mei lalu.

Lautan pejuang PN terutamanya kalangan anak muda pada masa itu hadir bagi mendengar amanat kepimpinan mereka tanpa dibayar walau satu sen pun.

Lautan manusia membanjiri Padang Awam Guar Chempedak pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pilihan Raya PN pada 13 Mei lalu.

Dan kelmarin, berlangsung satu lagi majlis melibatkan pemimpin besar BN serta PH di Kedah.

Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah namanya dengan himpunan tersebut dicanangkan akan disertai kira-kira 1,300 perwakilan yang akan menjadi tonggak kepada usaha kedua-dua gabungan tersebut untuk merampas Kedah dari tangan PN.

Asalnya majlis tersebut yang berlangsung di Ampang Business Centre (ABC), Alor Setar itu memang dihadiri oleh ramai orang. Almaklumlah, Presiden UMNO yang datang untuk merasmikannya kira-kira pukul 10 pagi.

Namun setelah Ahmad Zahid berangkat pulang sebaik memberi ucapan berapi-api untuk merampas Kedah, separuh daripada isi dewan ‘hilang’ hingga menampakkan lompong di sana-sini termasuk ketika ucapan penggulungan oleh Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid kira-kira tiga jam selepas itu.

Dari situ, maka dapatlah dirumuskan betapa semangat perjuangan jentera PH dan BN di Kedah ini tidaklah setara mana untuk merampas Kedah dari tangan PN.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada lunturnya semangat mereka itu disebabkan kekuatan PN terlalu ampuh di Kedah atau kerana mereka sudah tidak nampak harapan untuk PH dan BN dapat kembali bernyawa di negeri ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here