‘Andai PH-BN tersungkur, Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat’

0
147

PAS mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur daripada jawatan secara terhormat, jika Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) gagal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan Julai nanti.

Cabaran itu dibuat Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, sebagai tindak balas kenyataan Ahmad Zahid yang mencabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggunakan PRN enam negeri sebagai ‘kayu ukur’ sokongan rakyat.

Khairil Nizam berkata; “Andai PH-BN tersungkur, TPM perlu berundur secara terhormat.”

Katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah membuktikan BN-UMNO merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah politiknya.

“Ini kerana BN-UMNO hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen saja dengan UMNO mendapat 26 kerusi, dan ini adalah pencapaian terburuk Presiden UMNO setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Ahad lalu, Ahmad Zahid mencabar Muhyiddin menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai platform untuk menentukan tahap sokongan rakyat.

Malah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan gabungan parti beliau. Marilah kita sama-sama membuktikan pada keputusan PRN di enam negeri nanti, siapakah yang lebih diterima rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Vaisakhi, di ibu negara.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut, berkata dengan pelbagai isu yang menyakitkan rakyat melingkari kerajaan PH-BN dan tunduknya UMNO kepada DAP, pastinya ahli UMNO akan mengalih sokongan kepada PN.

Katanya, peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara UMNO dan DAP di beberapa negeri hingga ramai ahli UMNO kini bertekad menentang UMNO secara terbuka.

“PAS yakin kemelut yang berlaku dalaman PH-BN, selain kelemahan pentadbiran Perdana Menteri kesepuluh (PMX) yang terlalu ketara akan dihukum rakyat dalam PRN ini,” katanya lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here