Tiada potret pemimpin UMNO kekal dalam Dewan Merdeka – Asyraf Wajdi

0
161

TIADA ketetapan mewajibkan hiasan dalaman di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) perlu meletakkan potret pemimpin secara kekal.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia berikutan dewan itu milik WTCKL, yang terbuka untuk sewaan kepada orang ramai dan sesiapa sahaja yang ingin menganjurkan apa juga program.

“Justeru, pihak pengurusannya bebas menetapkan sendiri hiasan atau mengikut kehendak serta cita rasa penyewa bagi hiasan dindingnya.

“Oleh sebab itu, tiada hiasan kekal atau ketetapan meletakkan potret pemimpin sebagai penyeri hiasan dalaman,” katanya menerusi hantaran video berdurasi dua minit dua saat di Facebook miliknya, hari ini.

Asyraf Wadji berkata, beliau terpanggil memberi pencerahan dan penjelasan kepada pelbagai pihak, termasuk bekas pemimpin kanan UMNO, yang mensensasikan isu gambar pemimpin tertinggi UMNO di Dewan Merdeka ‘dihilangkan’ atau dialihkan.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023, yang berlangsung di Dewan Merdeka minggu lalu sebagai janggal berikutan ibarat diadakan di rumah UMNO.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga mendakwa gambar bekas pemimpin UMNO yang banyak berkorban untuk perjuangan parti ‘dihilangkan’ ketika konvensyen berkenaan berlangsung.

Asyraf Wajdi menjelaskan, selain pengurusan bebas menentukan hiasan dalamannya, keadaan berbeza boleh dilihat semasa penganjuran Perhimpunan Agung UMNO (PAU), dengan dewan itu dihias dengan perkara berkaitan UMNO.

“Ketika PAU, UMNO atau WTCKL akan menghiaskan Dewan Merdeka dengan bendera UMNO, termasuk potret pemimpin UMNO yang lampau.

“Tetapi dalam majlis atau acara lain, tiada potret pemimpin (UMNO) di dalam Dewan Merdeka. Begitu juga Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.

“Tidak ada istilah nak tutup mana-mana potret. Tidak ada istilah nak mengalihkan mana-mana potret dan mana-mana pemimpin kerana memang di dalamnya tiada sebarang potret atau hiasan kekal. Semua bergantung kepada cita rasa dan kehendak penganjur,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau menambah, mungkin ada pemimpin yang sudah lama tidak memasuki Dewan Merdeka sehingga menyebabkan mereka membuat dakwaan sedemikian.

“Mungkin ada pemimpin yang sudah lama tak masuk Dewan Merdeka ini. Mereka lupa agaknya tapi tak mengapalah.

“Yang penting penjelasan ini seharusnya menutup segala mulut-mulut yang sengaja mahu mencetuskan keraguan dan mempunyai niat jahat untuk memfitnah kepemimpinan seolah-olah kita tidak menghargai ataupun melupakan jasa pemimpin lampau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here