Polis kesan suspek simbah asid di 10 kedai kenderaan terpakai

0
92

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes menyimbah asid membabitkan 10 buah premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Green Lane dan Pulau Tikus.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima 11 laporan berhubung kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku sejak awal bulan ini dengan kejadian terbaru beberapa hari lalu.

Menurut beliau, kejadian itu menyebabkan kerosakan kepada beberapa buah kenderaan terpakai yang dijual di premis terlibat.

”Usaha mengesan suspek masih dilakukan dan kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca kejadian ini dan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian.

“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian menyimbah asid ini dilakukan suspek yang sama.

“Jumlah kerugian yang dialami oleh pemilik premis kenderaan terpakai itu juga masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Menurut Soffian, berdasarkan siasatan awal, semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu mendakwa tidak berhutang dengan ah long.

Malah, ujar beliau, mereka juga mendakwa tidak bermusuh, bergaduh atau berselisih faham dengan mana-mana pihak sehingga premis mereka disimbah asid.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi polis bagi menyalurkan maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here