Gula susut di Pulau Pinang

0
118

 “SUDAH tiga hari kami terputus bekalan gula, kedai runcit lain di sekitar kawasan ini juga dikatakan ada masalah sama.”

Pemilik kedai runcit, Hazmi Abdul Razak, 30, di Kampung Baru Sungai Ara di sini, mendakwa bekalan gula satu kilogram (kg) tidak diterima daripada pembekal sejak dua minggu lalu.

Ketika ini, katanya, hanya sedikit bekalan gula perang masih ada dan pelanggan terpaksa membelinya bagi menggantikan gula pasir.

“Saya mengambil bekalan gula daripada empat pembekal yang mana setiap pembekal menghantar 1,200 kilogram setiap minggu.

“Bagaimanapun, sudah dua minggu mereka tidak menghantar bekalan dan dua hari juga kami tidak menjual kerana kehabisan stok.

“Tidak pernah berlaku (terputus bekalan) dan jika ada pun, satu atau dua pembekal masih menghantarnya tetapi kali ini semua pembekal hadapi masalah sama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Peniaga minuman soya, Taha Ramli, 50, hanya mempunyai bekalan gula bagi kegunaan jualan selama dua hari.

“Lebih 10 tahun saya berniaga air soya, belum pernah terputus bekalan dan peniaga kecil seperti kami amat terasa tempiasnya,” katanya.

Peniaga dadih, Siti Nor Aishah Zainol, 40, terpaksa menghentikan jualan hari ini kerana tidak dapat membeli gula sejak dua hari lalu.

“Merata saya cari gula di lima kedai runcit selain pasar raya berhampiran tapi tak ada, maka semalam saya buat keputusan bercuti menjual beberapa hari.

“Pendapatan saya hanya bergantung kepada jualan dadih secara kecil-kecilan dan jika ia berterusan, saya tiada sumber pendapatan lain,” katanya lapor Berita Harian.

Pengusaha restoran makanan laut di Butterworth, Rosli Ahmad, 57, mencari bekalan gula sejak lebih dua minggu lalu bagi memastikan bekalan mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, bekalan yang ada cuma boleh bertahan untuk enam hari.

“Memang buntu tak tahu mana nak cari bekalan, mungkin saya tutup dulu perniagaan jika masalah ini berterusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan di pasar raya besar berhampiran Bayan Baru mendapati rak jualan gula hampir kosong tetapi bekalannya kemudian diisi pekerja.

Difahamkan, orang ramai membeli dengan kuantiti yang banyak sejak dua hari lalu sehingga jualan gula di situ hampir habis.

Ketika ini, pembeli dihadkan membeli maksimum empat pek satu kg dan dua pek dua kg gula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here