SPRM siasat bekas menteri kanan, ahli perniagaan bergelar Tan Sri, seleweng dana RM2.3 bilion

0
130

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan bergelar Tan Sri, berkaitan penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 bilion.

Menurut laporan BH Online, sumber berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen sulit yang dibuat International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“Tumpuan siasatan membabitkan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi bekas menteri kanan ini.

“Difahamkan juga, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan sudah diseleweng bagi kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” katanya.

Sumber berkata, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai berkenaan.

Beliau berkata, siasatan itu juga membabitkan pemilikan aset berharga dikenal pasti oleh SPRM dimiliki ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit berada di dalam serta di luar negara.

Katanya, SPRM juga sudah merakam keterangan 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan terbabit berkaitan dokumen sulit yang didedahkan Pandora Papers.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Azam berkata, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here