PAC syor adakan prosiding baharu membabitkan LCS

0
231

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan prosiding baharu berhubung kapal tempur pesisir (LCS) kontroversi diadakan pada persidangan Parlimen ke-15 yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding itu dicadangkan diadakan sejurus pelantikan ahli PAC diluluskan Dewan Rakyat.

Kata Mas Ermieyati, PAC dijangka mengadakan prosiding tersebut di Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard (BNS) dan diikuti lawatan kerja bagi memantau kemajuan pembinaan kapal berkenaan.

“Saya juga akan mencadangkan PAC mengeluarkan laporan baharu untuk dibentangkan ke Parlimen selepas laporan kemajuan dibentangkan setiap tiga bulan.

“Ini kerana antara syor PAC dalam laporan sebelum ini menyatakan Kementerian Pertahanan perlu membentangkan laporan kemajuan pembinaan kapal LCS kepada jawatankuasa berkenaan setiap tiga bulan.

“Saya mengambil maklum, PAC Parlimen penggal Ke-14 sudah membentangkan Laporan Perolehan Kapal LCS pada 4 Ogos 2022. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sudah membentangkan maklum balas terhadap tujuh syor dikemukakan PAC Parlimen penggal Ke-14, pada 5 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Agenda Daily.

Isu kapal LCS mendapat perhatian susulan pendedahan PAC iaitu tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek tersebut,yang dikurniakan kepada BNS melalui tender terbuka.

Ketika awal pendedahan laporan PAC, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sekarang ini Menteri Ekonomi secara terbuka mengaitkan beberapa nama individu dalam skandal penyelewengan terbesar selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Antara nama dikaitkannya ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kini Timbalan Perdana Menteri); bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kini di dalam penjara); dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Sembrong).

Ketiga-tiga individu merupakan pemimpin kanan dalam UMNO dan pernah memegang portfolio Kementerian Pertahanan.

Rafizi mendakwa ratusan juta wang dalam projek tersebut hilang dan lesap akibat penyelewengan yang berlaku.

Malah, Rafizi juga memberi amaran kepada Najib supaya tidak berpura-pura tidak tahu berhubung skandal LCS kerana waktu itu beliau merupakan Perdana Menteri ketika kerajaan menandatangani perjanjian bagi projek LCS bersama Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2011 serta merupakan satu-satunya pihak yang berkuasa mempengaruhi penukaran reka bentuk kapal tersebut daripada keperluan tentera laut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here