Isu tiket Coldplay mahal, KKD bakal panggil penganjur

0
173

PENGANJUR konsert Coldplay bagi dipanggil bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi sebenar isu penjualan tiket konsertnya, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Menurutnya, pertemuan itu akan turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pertemuan itu, katanya, bertujuan meneliti pendekatan yang boleh diambil untuk mengelakkan berlakunya penjualan tiket konsert terlalu mahal pada masa akan datang.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha KKD Mohamad Fauzi Md Isa untuk memanggil penganjur konsert dan agensi berkaitan,” katanya.

“Perbincangan itu bagi membolehkan kita memahami apa yang sebenarnya berlaku, kenapa ia berlaku, bagaimana ia boleh diatasi buat masa sekarang serta apa langkah perlu diteliti supaya tidak berulang pada masa depan.”

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media DUN Sarawak di Kuching hari ini, menurut Berita Harian.

Sebelum ini dilaporkan beberapa individu, dipercayai ulat tiket, menjual semula tiket konsert siri jelajah Music Of The Spheres World Tour itu dengan harga mencecah RM43,200.

Tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288, menurut laman web rasmi GoLive-Asia, namun golongan itu mengambil kesempatan menjual tiket berkenaan dengan harga tidak masuk akal.

Kumpulan rock British itu dijadualkan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November ini.

Berikutan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata, jika ada pihak membuat aduan, kementerian akan menyiasat perkara itu bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Selain itu, Fahmi berkata, antara perkara utama akan diteliti ialah cara penjualan tiket konsert kumpulan itu, sama ada perlu ada sekatan atau syarat terhadap penganjur.

“SKMM pula meneliti peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap platform digital yang menjadi pilihan ulat tiket untuk menjual semula tiket,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here