Ringgit terus menjunam, di paras terendah dalam enam bulan

0
196

RINGGIT memulakan urus niaga pagi ini rendah sedikit berbanding dolar AS selepas beberapa data makroekonomi Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan membantu melonjakkan permintaan untuk mata wang AS.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5445/5480 berbanding dolar AS daripada kadar penutupan semalam 4.5365/5395.

Ia adalah paras terendah sejak 21 November lalu.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz yang dipetik Bernama berkata data Tuntutan Pengangguran Permulaan AS, yang mengukur bilangan pemohon yang memohon insurans pengangguran minggu lalu, lebih rendah pada 242,000 berbanding unjuran an 254,000.

“Satu lagi penunjuk makroekonomi yang menyokong dolar AS ialah Indeks Pembuatan Persekutuan Philadelphia AS dengan bacaan hari ini pada -10.4 berbanding unjuran -19.8, yang juga positif untuk dolar,” katanya.

Selain itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) telah membayangkan kebarangkalian penghentian sementara dalam kenaikan kadar faedah pada mesyuarat akan datang agak tipis kerana Fed masih terikat dengan ancaman inflasi.

“Walaupun berada dalam mod risiko, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.64 peratus kepada 103.544 mata kerana Rizab Persekutuan masih cenderung untuk menaikkan kadar faedah,” katanya, lapor BH Online.

Justeru, ringgit dijangka kekal lemah dengan paras semasa RM4.5380 agak hampir dengan paras rintangannya iaitu RM4.5491.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6411/6454 daripada 5.6452/6490 pada penutup Khamis, meningkat berbanding euro menjadi 4.8958/8996 daripada 4.9076/9108 semalam dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2831/2861 daripada 3.2926/2950 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 305.6/306.0 daripada 305.0/305.4 pada penutup Khamis, merosot kepada 3.3728/3756 berbanding dolar Singapura daripada 3.3724/3748 semalam dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.14/8.15 daripada 8.11/8.13 sebelumnya.

Namun begitu, ringgit menambah nilai berbanding baht Thailand kepada 13.1839/2002 daripada 13.2105/2247 semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here