Ketidakstabilan politik negara beri impak negatif terhadap Sukan SEA Kemboja – Hannah Yeoh

0
230

KETIDAKSTABILAN politik negara sejak lima tahun kebelakangan ini turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Ia memandangkan segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui perkara berkenaan.

Meskipun berat untuk diakui namun Hannah menjelaskan sukan adalah antara sektor yang terkesan memandangkan apa yang dirancang termasuk program pembangunan dan strategi dalam sukan tidak dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Saya perlu cakap perkara ini, ketidakstabilan politik dalam lima tahun terakhir termasuk dalam sektor ekonomi menyebabkan kita melihat perkara ini (kegagalan di Sukan SEA Kemboja 2023) sekarang, sukan menjadi antara sektor yang terkesan.

“Sebab itu, saranan Yang di Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam soal kestabilan dalam masa lima tahun sangat penting untuk kita bekerja dan membuahkan hasil.

“Sebelum ini, ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi tidak sempat. Sebab itu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) cakap, sebelum buat sudah bertukar dan ada hala tuju baharu.

“Sebab itu, format projek Road to Gold (RTG) menteri duduk bersama dengan MOM supaya kalau salah satu (seorang) ditukar, ia tetap berjalan dan tidak terganggu,” katanya dalam rangkuman prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini.

Hannah berkata, matlamat RTG adalah memastikan semua pihak berkepentingan bekerjasama untuk membangunkan sukan tanah air dengan matlamat meraih emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Sebelum itu, Norza yang turut hadir dalam majlis berkenaan berkata, beliau sudah menjangkakan situasi ini bakal berlaku dan pernah menyuarakan kebimbangan ini sejak Sukan SEA Filipina 2019.

“Saya tahu perkara ini akan berlaku. Hari ini, saya mahu cakap bahawa model sukan kita sudah lapuk dan kena ubah, satu permulaan bagus ialah apabila kita ada RTG sekarang dan sepatutnya program yang sama perlu dibangunkan.

“Sebenarnya, sejak Sukan SEA Filipina saya sudah menyuarakan supaya perubahan dilakukan namun, kita tiada langkah susulan. Sekarang kita kena lihat semula dan mengharapkan kerajaan stabil dan ‘reset’ semula sukan negara.

“Jangan anak tirikan sukan, ada atlet kita tidak dibayar sepatutnya, jurulatih pun kita tak bayar dengan sepatutnya dan ada antara mereka dapat RM800 duduk dalam bilik tutup penghawa dingin kerana mahu berjimat,” katanya, lapor BH Online.

Malaysia menutup tirai temasya dwitahunan di Phnom Penh dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan sekali gus gagal mencapai sasaran diletakkan iaitu 40 emas.

Pencapaian itu adalah yang terburuk buat negara di Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak di Hanoi, Vietnam 2003.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here