SEORANG ibu yang disyaki melakukan amang seksual terhadap anaknya di Puncak Alam, sekali lagi ditahan bagi siasatan kes sama di sekitar Sungai Buloh, selepas dibebaskan daripada reman hari ini.
Turut ditahan, seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai bapa tiri mangsa.
Ketua Polis Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar, berkata penahanan itu susulan laporan dibuat mangsa melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun di Balai Polis Saujana Utama kelmarin.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah hotel pada Januari lalu dan mangsa tidak bersekolah.
“Kita akan menahan kedua-dua suspek yang kini berada dalam tahanan di IPD Kuala Selangor. Kebenaran tempoh ke atas kedua-dua suspek akan diperoleh dari mahkamah esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Selangor, Ramli Kasa, berkata siasatan kes terhadap dua individu terbabit sudah dilengkapkan.
Bagaimanapun katanya, tindakan pendakwaan akan diambil selepas selesai kes baharu di Sungai Buloh.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 dan 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan perbuatan jijik seorang ibu dipercayai melakukan amang seksual dengan anak lelakinya terbongkar sebelum dicekup polis 2 Mei lalu.
Suspek dikatakan turut merakam aksi dengan remaja berusia 14 tahun itu menerusi telefon bimbit, manakala seorang lelaki yang juga penganggur berusia 35 tahun diberkas Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes itu di sebuah restoran di Bandar Puncak Alam.