Pelakon veteran, Hashim Abdul Rahman meninggal dunia

0
251

PELAKON veteran, Hashim Abdul Rahman, 75, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak akibat komplikasi pelbagai penyakit, jam 6.45 pagi tadi.

Menantu Allahyarham, Norhazrin Hashim memaklumkan keadaan kesihatan bapa mentuanya itu merosot selepas disahkan mengidap penyakit kencing manis.

“Arwah mengidap penyakit kencing manis dan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini.

“Selera makan semakin kurang dan berat badan semakin menyusut. Berdasarkan gejala yang ditunjukkan, doktor syak arwah ada masalah pada bahagian usus dan menyarankan untuk membuat prosedur endoskopi.

“Keadaan arwah semakin membimbangkan dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan, semalam.

“Bagaimanapun, degupan jantung arwah semakin lemah, subuh tadi. Doktor memanggil suami saya untuk mengajar arwah mengucap.

“Pada jam 6.45 pagi, arwah disahkan sudah meninggal dunia,” katanya kepada BH Online.

Menurut Norhazrin, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk dikapan dan disolatkan.

“Insya-Allah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang selepas Asar,” katanya, lapor BH Online.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham yang juga bapa kepada pelakon Buzen Hashim ini pernah membintangi pelbagai drama dan filem serta pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) pada 1991.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, tiga cahaya mata dan sembilan cucu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here