Peguam negara, SPRM perlu percepat siasatan kes Sivakumar – Bersih

0
136

PEMANTAU pilihan raya, Bersih menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara mempercepat siasatan kes membabitkan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar bagi mengurangkan polemik politik.

Pengerusinya Thomas Fann berkata, agensi penguat kuasa terbabit perlu memutuskan segera sama ada wujud salah guna kuasa atau sebaliknya dalam kes pengambilan pekerja asing membabitkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu.

“Apabila pemimpin politik utama terlibat, SPRM dan Pejabat Peguam Negara mesti segera menyelesaikan siasatan mereka dan memutuskan sama ada tuduhan perlu dibawa supaya polemik politik dapat diminimumkan.

“Jika SPRM telah menyelesaikan siasatan, maka Pejabat Peguam Negara perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada Sivakumar telah melanggar undang-undang atau tidak,” katanya, lapor FMT.

Sivakumar dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengambilan pekerja asing, yang menyaksikan tiga pembantunya ditahan empat hari sebelum dibebaskan pada 17 Apr.

Dua daripadanya telah kembali bekerja manakala seorang lagi telah digantung tugas.

Timbul gesaan agar beliau bercuti namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Sivakumar tidak perlu berbuat demikian kerana beliau hanya dipanggil memberikan kenyataan kepada SPRM.

Lagipun, tambahnya, tiada pertuduhan dikenakan terhadap menteri itu.

Dalam pada itu, Fann berkata, Sivakumar tidak perlu bercuti kerana belum didakwa di mahkamah. Khidmatnya juga masih diperlukan, kata Fann, memandangkan kementeriannya tidak mampu bergerak tanpa menteri dalam tempoh lama.

“Tetapi sekiranya Sivakumar didakwa, beliau harus meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada pembelaan (diri) terhadap pertuduhan itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here