PAS Selangor sahkan Shahidan tiada dalam senarai calon

0
140

PAS Selangor berkata Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim tiada dalam senarai calon parti itu bagi PRN akan datang.

Setiausaha perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata ini kerana tiada sebarang perbincangan untuk meletakkan Shahidan calon dan PAS juga telah membuat senarai pendek calon yang mungkin diletakkan di negeri itu.

“Setakat ini, calon yang disenarai pendek PAS Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan.

“Bagaimanapun, di peringkat pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkannya sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Spekulasi bahawa bekas menteri besar Perlis itu akan bertanding di Selangor berlegar selepas dia dikatakan sudah turun ke Semenyih beberapa kali.

Shahidan juga malah memberi bayangan mungkin melibatkan diri dalam usaha PN untuk merampas pentadbiran Selangor dari PH.

Untuk rekod, dia mempertahankan kemenangannya di Arau di bawah tiket PAS pada PRU lalu, selepas namanya digugurkan oleh kepimpinan BN.

Shahidan sebelum ini memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang agenda untuk merebut apa-apa jawatan tetapi akan menggunakan pengaruhnya untuk membina “gelombang yang dahsyat” untuk PN di Selangor.

Roslan mengambil maklum bahawa Shahidan ada menawarkan diri sebagai calon dan pihaknya akan memberi sokongan jika kepimpinan parti berpandangan ia boleh membantu memberi kemenangan dalam PRN akan datang.

Pada masa sama, dia berkata pembahagian kerusi DUN Selangor antara PAS, Bersatu dan Gerakan sudah hampir selesai dan akan memperkenalkan calon setelah senarai tersebut mendapat lampu hijau daripada kepimpinan tertinggi.

“Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada PAS pusat untuk menyelesaikannya,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here