Kempen awal PRN melalui rumah terbuka gagal

0
143

OLEH Tok Chey

SEMALAM telah berakhir rumah terbuka Aidilfitri Madani di Alor Setar Kedah yang mana penganjurannya menjadi isu hangat diperdebatkan kerana amat ketara ia diadakan berikutan Kedah adalah antara enam negeri yang akan terlibat pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Selepas ini rumah terbuka yang sama akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Walaupun pemimpin kerajaan menggunakan pelbagai alasan bagi menafikan ia adalah kempen PRN, ia sama sekali tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa ia sebenarnya kempen ketara kerajaan PH-BN untuk meraih undi daripada rakyat di enam negeri-negeri berkenaan.

Alasan paling kukuh bahawa ia adalah kempen ialah ia diadakan di enam negeri yang terlibat PRN sedangkan sebelum ini acara tradisi itu diadakan di Seri Perdana, Putrajaya ataupun di kawasan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri.

Jika ia bukan kempen PRN, sudah pasti majlis yang sama diadakan di Wilayah Persekutuan, Perlis, Perak (negeri kerusi PM dan TPM), Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sekiranya alasan untuk bertemu rakyat, sudah pasti ia diadakan di seluruh negara dan bukannya di kawasan negeri tertentu sahaja.

Kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan untuk mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan majlis di enam negeri lebih jimat berbanding satu majlis di Putrajaya juga alasan yang dicipta untuk menutup pekung di dada.

Keduanya, pada malam sebelum hari rumah terbuka, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan berucap yang menyentuh isu politik Kedah.

Isu-isu yang dikaitkan dengan negeri itu seperti masalah bekalan air, pembangunan dan kemiskinan dijadikan bahan kempen itu dan beberapa janji politik telah ditaburkan semasa ucapan tersebut seperti “masalah air akan selesai jika kerajaan PH-BN diberi mandat” dan bantuan berbilion ringgit untuk Kedah.

Dan apabila segala tindak-tanduk menjurus ke arah kempen PRN, maka secara tidak langsung rakyat nampak bahawa jentera kerajaan telah digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk menjayakan rumah terbuka tersebut.

Selain wang kerajaan digunakan, turut dikerah dengan agresif ialah jentera kerajaan seperti Jabatan Penerangan dan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang dibawa dengan ‘berbiji-biji bas’ untuk memenuhkan majlis berkenaan.

Sepanjang pengetahuan Tok Chey, semasa PH menjadi pembangkang, mereka cukup lantang mengkritik kerajaan yang dikatakan sering menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Kini, apabila menjadi kerajaan, PH dilihat lebih teruk apabila bukan sahaja telah menggunakan jentera kerajaan, tetapi berkempen lebih awal sebelum gendang kempen diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bahkan mereka kini telah bergabung dengan BN yang dulu sering dituduh oleh PH sering menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen semasa PRU dan PRN.

Daripada reaksi yang Tok Chey terima, kempen awal kerajaan PH-BN ini walaupun telah mengeluarkan belanja yang banyak dan penyalahgunaan jentera yang menyeluruh, ia tidak akan dapat mengubah pendirian pengundi.

Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh Presiden Pas, Hadi Awang bahawa nasihat mantan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat tersemat rapi di hati ahli-ahli Pas.

Slogan itu ialah ‘bagi gula kacau, bagi kain pakai, bagi duit ambil namun tetap undi Pas’ .

Nasihat penting itu jugalah membolehkan Pas terus mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan terbaharu berjaya menawan Perlis.

Kesimpulannya, usaha keras kerajaan PH-BN untuk berkempen lebih awal dengan menyalahgunakan segala kemudahan kerajaan tidak akan berjaya kerana ahli Pas dan pengundi atas pagar sudah tetap pendirian mereka dan tidak akan berubah walaupun ditawarkan dengan pelbagai imbuhan.

*Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here