Jadi calon PN: ‘Segalanya mungkin’, kata Salim

0
155

BEKAS Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif, belum memutuskan sama ada menerima tawaran menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN di Negeri Sembilan.

Beliau yang berdepan penggantungan daripada UMNO bagaimanapun berkata “segala kemungkinan boleh berlaku”, namun ketika ini sedang berada dalam tempoh bertenang susulan kematian isterinya pada Februari lalu.

“Buat masa ini saya belum membuat keputusan tetapi segala kemungkinan boleh berlaku kerana kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan,” katanya menurut Berita Harian.

Sharif digantung UMNO kerana didakwa mensabotaj parti pada PRU15.

Katanya, buat masa ini beliau ingin memberikan tumpuan kepada keluarga terlebih dahulu.

“Setakat ini saya belum memberi kata putus kerana ingin bertenang selepas isteri meninggal dunia dan ketika ini ingin memberikan tumpuan kepada keluarga terlebih dahulu.

“Saya belum terfikir untuk menyertai mana-mana parti dan bertanding pada PRN,” katanya.

Semalam dilaporkan, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, mengesahkan tawaran itu pernah dibuat kepada Salim dan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, Salim berkata, walaupun tumpuan ketika ini hanya pada keluarga selepas terlalu sibuk dengan urusan politik sebelum ini, namun beliau akan melihat situasi semasa sebelum membuat keputusan.

“Allah sudah tentukan perjalanan politik saya begini, saya terima dengan hati hati terbuka. Tapi orang lain tak tahu bagaimana dalam keadaan arwah isteri saya sakit pun, saya masih bekerja keras untuk parti (UMNO),” katanya.

Selain Salim, turut berdepan penggantungan enam tahun adalah Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan UMNO Shahril Hamdan dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, bekas Ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy pula dipecat parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here