Lari selepas terlibat kemalangan dengan polis

0
131

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG penunggang motosikal yang melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan dengan seorang anggota polis di Jalan Bagan Dalam, di Butterworh pukul 7.55 pagi semalam kini diburu polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian itu ketika anggota polis terbabit sedang membuat pemantauan anggota bertugas.

“Siasatan mendapati motosikal yang ditunggang oleh anggota polis terbabit dari arah Bagan Luar menghala ke Bagan Dalam itu bergesel dengan motosikal yang ditunggang individu terlibat.

“Selepas kemalangan, penunggang dengan nombor pendaftaran motosikal yang tidak diketahui itu disyaki telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu katanya, pihak polis giat mengesan penunggang motosikal terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, anggota polis terlibat yang bertugas di Balai Polis Butterworth mengalami kecederaan di bahagian rahang sebelah kiri, cedera mata sebelah kiri, luka di dahi, luka-luka di jari kedua-dua belah tangan dan di kedua-dua belah kaki.

Menurutnya, anggota terbabit masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Tambahnya, orang ramai, mana-mana pihak atau saksi yang mempuyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04-5759122 atau ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Jenny Jay Rumalin di talian 013-8781700.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here