Polis cari dua suspek samun telefon bimbit, cedera pekerja

0
148

DUA suspek terlibat kes samun sebuah kedai telefon bimbit dan mencederakan pekerja sebuah premis perniagaan di Sungai Besar di Sabak Bernam kelmarin kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, kejadian itu tular menerusi satu video menerusi media sosial memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan kedai tersebut.

“Satu laporan polis berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis berkenaan.

“Siasatan mendapati seorang pekerja wanita dan lelaki berada di kedai itu didatangi seorang suspek kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Agus Salim memberitahu, suspek lelaki itu kemudiannya menyerang seorang pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan.

Beliau memberitahu, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

Katanya, pada waktu itu, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja tersebut.

Namun ujar beliau, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja tersebut mengalami kecederaan dan telefon yang dirampas turut tercicir di lokasi kejadian.

Sehubungan itu, tegas Agus Salim, polis sedang giat menjalankan usaha memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Sabak Bernam,Asisten Superintendan Khairul Azmani Mohd. Zain di talian 03-32242222,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here