Masalah air berlaku di semua negeri, bukan Kelantan sahaja – Mohd Amar

0
314

PAS Kelantan menyifatkan janji UMNO untuk menyelesaikan masalah air dalam masa lima tahun sekiranya parti itu diberi mandat adalah janji semata-mata untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sesiapa sahaja mampu berjanji semata-mata untuk mendapat undi rakyat.

“Janji ini tidak lain tidak bukan hanya disebabkan PRN sudah tidak lama lagi. Namun perlu tahu apa punca yang menyebabkan masalah air di Kelantan ini tidak selesai.

“Malah, masalah air bukan hanya berlaku di Kelantan sebaliknya di negeri lain juga seperti Pahang sehingga Menteri Besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu terpaksa membuat janji untuk menyelesaikan isu air.

“Di Selangor pun berdepan masalah air juga namun isu ini tidak dijadikan modal sebagaimana di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pemuda PAS Kelantan kali ke-64, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO merayu kepada pengundi di Kelantan supaya memberi peluang kepada parti itu untuk tempoh lima tahun pada PRN nanti, bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masalah air di Kelantan adalah janji UMNO yang akan diselesaikan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, Kelantan tidak pernah menafikan sebaliknya mengaku berhubung masalah air di negeri itu.

“Disebabkan itu kita mohon bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kalau UMNO kata dia nak mandat lima tahun untuk tadbir Kelantan bagi menyelesaikan masalah air, kita pula minta diberi mandat untuk tadbir negara dan kita akan selesaikan masalah air di semua negeri,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here