“Sombong!”, Tajuddin kesal dihalang masuk Mesyuarat Perwakilan UMNO

0
175

MESYUARAT Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak kecoh selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dihalang daripada memasuki Dewan Besar Bandar Baru Felda Seberang Perak di Pasir Salak, hari ini.

Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak dibenarkan masuk atas sebab keanggotaannya sebagai ahli parti berkenaan digantung.

Bekas Ketua UMNO Bahagian itu terdahulu hadir sekitar pukul 9.50 pagi sebelum dihalang oleh petugas keselamatan di pintu pagar utama dewan tersebut.

Sementara itu, ketika dihubungi Tajuddin menzahirkan kekesalan kerana tidak dibenarkan untuk mengikuti perjalanan mesyuarat berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menyifatkan kejadian itu sebagai ‘sombong’ dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sayang UMNO, saya setia. 50 tahun dalam UMNO.

“Sombong! Mantan KB (ketua bahagian) pun dihalang masuk. Tidak pernah berlaku, tiada alasan diberikan mereka,” dakwanya ketika dihubungi hari ini.

Pada pemilihan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, anak sulung beliau, Dr Faizal Tajuddin bertanding menentang bekas pemangku ketua bahagian itu, Khairul Azwan Harun.

Minggu lalu, anak perempuan Tajuddin, Datin Sri Rahayu dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak baharu menewaskan penyandangnya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Oktober lalu, media melaporkan Tajuddin digantung keahliannya selama enam tahun selain dipecat daripada MKT UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here