SPRM jejask aset,wang haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

0
147

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjejaki aset dan wang, dipercayai berjumlah jutaan ringgit hasil kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa, yang dilumpuhkan menerusi Op Tropicana pada Feb lepas.

Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan usaha menjejak aset dan wang haram itu, dijalankan dengan kolaborasi Bank Negara Malaysia dan badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA-United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).

SPRM berkata usaha itu, merupakan tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket yang terdiri daripada warga asing, didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Khamis (16 Mac) dan di Mahkamah Butterworth semalam (17 Mac), iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

Keempat-empat warga United Kingdom telah dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, lima warga British dan dua rakyat Filipina merupakan antara 10 individu yang ditahan SPRM, dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 21 Feb lepas, berkaitan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Mereka ditahan dalam operasi dinamakan Op Tropicana diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM yang menyerbu 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk tiga pusat panggilan sindiket iaitu dua yang terletak di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Berhubung dakwaan bahawa lima bank utama dipantau SPRM berkaitan penglibatan dalam sindiket penipuan tersebut, SPRM memaklumkan siasatan berkenaan lebih tertumpu kepada individu-individu terlibat dan bukan melibatkan institusi kewangan tersebut secara khusus.

“Mereka ini merupakan segelintir golongan profesional termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat, yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here