Tun M akan sertai pelancaran ‘Proklamasi Melayu’ ahad ini

BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi tetamu kehormat pada pelancaran sebuah “proklamasi Melayu” di Hotel Impiana KLCC Ahad ini.

Penganjur acara itu, sebuah kumpulan yang dipanggil Sekretariat Tanah Air, berkata Mahathir akan hadir atas kapasiti peribadi, bukan sebagai wakil parti yang baru disertainya, Putra.

Penganjur turut menegaskan bahawa ia bukan acara politik tetapi untuk membincangkan isu-isu berkaitan komuniti Melayu.

Menurut agenda acara tersebut, ucapan perasmian akan disampaikan oleh Zaini Hassan, manakala ahli akademik dan bekas senator Ibrahim Abu Shah akan menjadi moderator.

Mahathir kemudiannya akan memberi ucapan sebelum bekas naib canselor Universiti Malaya Hashim Yaacob membentangkan proklamasi itu, lapor FMT.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu seterusnya akan menyaksikan majlis menandatangani proklamasi.

Seorang pembantu Mahathir mengesahkan bahawa pejabatnya bukan penganjur acara itu.

Pada 1 Mac, Mahathir menyertai Putra, parti yang diketuai oleh sekutu lamanya Ibrahim Ali, sebagai penasihat. Ini berlaku tidak sampai sebulan selepas Mahathir dan 12 pemimpin parti lain meninggalkan Pejuang, parti yang diasaskannya pada 2020.

Beliau menyifatkan Putra sesuai dengan perjuangannya, iaitu membela nasib orang Melayu.

Pada sidang media selepas menyerahkan borang keahliannya, Mahathir mendakwa orang Melayu tidak lagi menguasai ekonomi dan “orang lain” telah mengambil alih.

Beliau juga mengkritik kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata, 100 hari pertama perdana menteri berkuasa tidak membuahkan hasil kerana Anwar hanya membuat janji kosong tentang memulihkan ekonomi dan menyelesaikan isu melibatkan orang Melayu.