Tiada permohonan baharu lesen premis judi, loteri di Perlis

0
161

KERAJAAN negeri setakat ini tidak menerima sebarang pemohonan baharu bagi pembukaan premis perjudian dan loteri, kata Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Fakhrul Anwar Ismail.

“Kerajaan negeri mempunyai perancangan ke arah pelaksanaan untuk menghentikan operasi premis perjudian dan loteri sepertimana yang telah dinyatakan oleh Menteri Besar Mohd Shukri Ramli pada Majlis Amanat Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri Perlis Tahun 2023 baru-baru,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kangar hari ini.

Beliau menjawab soalan Haziq Asyraf Dun (PAS-Beseri) berhubung tindakan kerajaan negeri bagi menghentikan lesen operasi premis perjudian dan loteri di negeri ini.

Fakhrul (PAS-Bintong) berkata perkara tersebut sedang diteliti secara mendalam dari aspek perundangan sebelum mengambil langkah untuk menghentikan lesen operasi sepenuhnya terhadap premis perjudian dan loteri di negeri ini.

“Untuk makluman juga, lesen operasi perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengeluarkan lesen premis perniagaan bagi tujuan menjalankan aktiviti perjudian berpandukan lesen operasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata walaupun pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pemohonan, langkah untuk menghentikan operasi premis perjudian memerlukan penyelarasan bersama pihak-pihak terlibat.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here