Pengedar dadah dihukum gantung sampai mati bunuh rakan

0
175

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan gantung sampai mati terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah membunuh seorang tokan dadah, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Abu Bakar Mahamad, 44, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Mahkamah ini telah menimbangkan mitigasi peringanan dan hujahan pemberatan oleh Timbalan Pendakwa Raya, mahkamah telah mengambil kira tindakan tertuduh secara keseluruhannya bertinda tanpa keinsafan melakukan pembunuhan ke atas mangsa.

“Mahkamah dengan ini menjatuhi hukuman gantung dileher tertuduh sehingga mati pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditetapkan kelak.

“Semua eksibit melainkan dokumen diserahkan kepada polis untuk simpanan sehingga proses rayuan (jika ada) diselesaikan,”katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Abu Bakar didakwa membunuh Saffat Taliman, 36, (ketika kejadian) antara awal Mac sehingga 9 Ogos 2016 di Jalan Besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati.

Berdasarkan fakta kes, dia telah pergi ke sebuah felda di kawasan Kota Tinggi untuk mencari si mati sebelum membawa balik si mati dengan cara menyumbat mangsa dalam tempat letak barang kereta jenis Mercedes ke sebuah rumah di Austin, Johor Bahru.

Di rumah tersebut mangsa dalam keadaan lembik dan dipukul menggunakan tangan, kaki dan kayu besbol oleh tertuduh selain mulut si mati disumbat dengan dadah syabu, shampoo, tawas dan air beteri.

Tertuduh bertindak membogelkan si mati dan meletakkan di atas kerusi dan diangkat masuk ke dalam tandas sebelum kemaluan si mati disimbah dengan petrol dan dibakar.

Si mati dibiarkan sendirian dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum sehari kemudian selepas itu tertuduh ini menyuruh rakannya untuk membuang mayat si mati dengan cara mayat si mati dibalut dengan toto dan diikat menggunakan dawai punai.

Mayat si mati dimasukkan dalam almari lama sebelum dibuang di Jalan Besar Jalan Seelong Senai-Kota Tinggi, Kulai sebelum mayat tersebut dijumpai orang awam pada 9 Ogos 2016.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali yang memanggil 14 saksi pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Anita Vijaya Rajah.

Terdahulu, Abu Bakar pernah disabitkan dengan kesalahan membunuh Md. Az’rai Saim, 38, (ketika kejadian pada tahun 2016) oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada tahun 2021.

Tertuduh bertindak membunuh kedua-dua mangsa kerana hutang dadah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here