Penahanan ‘Rasul Melayu’ adalah sah

0
410

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya dalam permohonannya selepas Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan agensi agama itu menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ dan 13 pengikutnya pada 2020 adalah sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizah Nawawi secara sebulat suara membenarkan rayuan Jais dan lima responden lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penahanan Abdul Kahar Ahmad, 71, dan 13 yang lain melanggar Perlembagaan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Hashim Hamzah turut menolak rayuan semua 14 individu itu berhubung isu pampasan RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Kami membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 14 April 2022 manakala rayuan Abdul Kahar dan 13 yang lain, ditolak. Mahkamah ini tidak membuat perintah terhadap kos,” katanya dalam penghakiman, hari ini, lapor Harian Metro.

Selain Jais dan ketua pengarahnya, empat perayu lain terdiri daripada ketua pegawai penguatkuasa agama Islam Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd. Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Shanizah Ngatiman.

Ketika membacakan keputusan itu, Azizah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pada hemat panel itu, seksyen berkenaan tidak terbatal atau melanggar hak keperlembagaan untuk kebebasan dan kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut berpendapat, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana menyamakan seksyen berkenaan dengan perintah tahanan reman.

Menurut Azizah, penahanan semua responden dan selanjutnya dihantar ke pusat tahanan dilakukan berdasarkan undang-undang kerana kegagalan mereka mematuhi terma-terma syarat jaminan.

Katanya, jika mereka tidak berpuas hati dengan syarat jaminan, mereka boleh memfailkan permohonan semakan atau mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Panel tiga hakim itu turut berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepikan perintah Mahkamah Syariah kerana mahkamah sivil dan syariah adalah dua sistem kehakiman yang berasingan.

Azizah berkata, Mahkamah Syariah bukan tribunal bawahan sebaliknya mempunyai bidang kuasa yang kompeten dan mempunyai kuasa semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Aturan-Aturan Mahkamah 2012.

“Mahkamah Sivil tidak boleh menyemak keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Aturan 53. Hakim dalam kes ini hanya boleh mengisytiharkan keabsahan Seksyen 22 enakmen itu,” katanya.

Dalam penghakimannya, panel itu selanjutnya menjelaskan peruntukan Sekyen 76 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memberi kuasa imuniti dan melindungi hakim serta pegawai kehakiman.

Katanya, seksyen itu menyatakan tindakan saman tidak boleh dikenakan terhadap hakim syarie sama ada di mahkamah sivil atau mahkamah syariah berhubung perintah yang dikeluarkan ketika menjalankan tugas kehakiman, asalkan beliau berniat baik dan percaya sudah menjalankan tugas di bawah ruang lingkup bidang kuasanya.

“Perlindungan terhadap hakim syarie adalah sama (pari materia) dengan Seksyen 14(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang diperuntukkan kepada hakim mahkamah sivil,” katanya, lapor Harian Metro.

Sehubungan itu, panel berpendapat, defendan keempat dan keenam selaku hakim-hakim mahkamah rendah syariah melaksanakan tugas kehakiman dan dilindungi di bawah Seksyen 76.

Dalam rayuan itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib hadir mewakili perayu-perayu manakala peguam Fahri Azzat mewakili Abdul Kahar dan yang lain.

Sebelum ini, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan tindakan Jais menahan Abdul Kahar yang pernah mendakwa dirinya ‘Rasul Melayu’ pada 2020 adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada 14 April tahun lalu apabila membenarkan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa JAIS menahan Abdul Kahar dan beberapa yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada tarikh itu atas dakwaan menghidupkan semula ajaran ‘Rasul Melayu’.

Media turut melaporkan Mahkamah Syariah Shah Alam membebaskan Abdul Kahar dan tiga pengikutnya dengan ikat jamin.

Abdul Kahar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985 berhubung ajaran sesat ‘Rasul Melayu’ pada 24 September 2009.

Tertuduh yang ketika itu berusia 62 tahun kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan kerana menyebarkan ajaran sesat.

Pada 2016 ketika Majlis Istitabah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Kahar memohon taubat secara terbuka kerana mengisytiharkan dirinya sebagai rasul.

Selepas dibebaskan daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar kesahihan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari ditahan.

Mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah atas sebarang kesalahan yang dikaitkan dengan serbuan pada September 2020 oleh JAIS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here