Tiada keperluan memohon maaf, menarik semula kenyataan – Razali Idris

0
251

KETUA Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris menegaskan tiada keperluan untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataan mengenai pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Katanya, DAP mungkin ada perkara yang cuba disembunyikan mengenai isu pendedahan rakyat China yang diberikan kewarganegaraan.

“Mengapa DAP melenting mengenai isu 54,000 rakyat China yang diberi kewarganegaraan? Mungkin parti itu ada perkara yang cuba disembunyikan.

“Jika tiada perkara yang cuba disembunyikan, mengapa DAP beria-ia menyuruh kita meminta maaf, selain menarik semula kenyataan itu,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023, peringkat negeri di Dataran Shah Bandar, di Kuala terengganu, hari ini.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri berkata demikian ketika mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang memberi tempoh 24 jam kepadanya dan PAS membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula dakwaan mengenai pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Razali yang juga Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, DAP sebenarnya tidak faham isu pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China kerana Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah memberi penjelasan.

“Apa yang perlu hendak dibuktikan atau bukti…persoalan berbangkit, rakyat perlu diberikan penjelasan yang lebih mendalam, terperinci dan dihalusi kerana membabitkan kedaulatan negara dan hak keistimewaan tertinggi.

“Kita sangat bimbang, rakyat sangat khuatir isu pemberian kerakyatan dan yang nampak tidak bimbang adalah DAP yang mungkin cuba sembunyikan sesuatu,” katanya, lapor BH Online.

Razali berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan terdapat elemen salah guna kuasa, rasuah dan salah tadbir kuasa dalam JPN.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

“Kita juga menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara memanggil Saifuddin dan JPN untuk penjelasan lebih lanjut dan telus.

“Kita juga mendesak pimpinan tertinggi DAP turut disiasat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here