Terengganu luluskan RM4.36 juta biayai lesen motosikal untuk belia

0
163

KERAJAAN negeri meluluskan peruntukan RM4.36 juta bagi membiayai pemberian Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) percuma kepada golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata seramai 15,000 golongan belia berusia antara 16 tahun dan 40 tahun layak memohon untuk mendapatkan LMTS secara percuma tahun ini.

Katanya, permohonan kepada belia dan beliawanis termasuk golongan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan lesen B2 percuma sudah dibuka mulai semalam hingga 20 Mac ini.

“Kita menyasar untuk melaksanakan program ini bermula April,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Boling Jalinan Mesra Golek Santai bersama Media, anjuran bersama Majlis Sukan negeri (MSN), di Kuala Terengganu, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md Noor dan Pengarah MSN negeri, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam, berkata kerajaan negeri hanya akan menanggung kos pendaftaran, ujian komputer lesen L dan latihan memandu serta ujian memandu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM310 setiap individu termasuk perlindungan insuran.

Katanya, sebanyak 12 Institut Memandu (IM) dilantik oleh kerajaan negeri bagi mengendalikan ujian memandu lesen motosikal B2.

“Belia dan beliawanis termasuk OKU, boleh membuat permohonan untuk mendapatkan LMTS melalui dalam talian yang sudah dibuka mulai semalam.

“Latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen motosikal percuma melalui program LMTS untuk golongan belia dan beliawanis mula diperkenalkan kerajaan pada 2019,” katanya, lapor BH Online.

Wan Sukairi berkata, seramai 40,000 golongan belia dan beliawanis di seluruh negeri ini, sudah mendapat manfaat program itu sejak diperkenalkan mulai 2019.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengumumkan langkah kerajaan untuk membiayai kos mendapatkan lesen memandu Kelas B2, Lesen Teksi, Bas serta e-hailing kepada belia B40 di negara ini.

Namun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kemudiannya menjelaskan tidak semua belia layak mendapat kemudahan pembiayaan itu, sebaliknya hanya individu daripada kategori itu yang berdepan kesulitan keupayaan kewangan sahaja, akan dipertimbangkan menerima manfaatnya.

Bagaimanapun, katanya mekanisme dan syarat itu akan diperincikan terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here