Saifuddin perlu jawab isu surat ROS putuskan usul tambahan UMNO tidak sah

0
223

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memberi penjelasan mengenai kewujudan satu surat yang didakwa dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan UMNO.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa, surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO itu, antara lain menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa ROS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, menegaskan jika surat itu tulen, ia bertentangan dengan kenyataan media Saifuddin Nasution hari ini, yang memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

“Ini adalah satu isu kepentingan awam. Jika inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan lain boleh mencontohi atau perkara ini menjadi duluan kepada perkara seperti ini (pada masa depan).

“Adakah ini satu duluan yang mengikat semua pertubuhan, termasuk pertubuhan sebelah sana (parti kerajaan) dan sebelah sini (parti pembangkang). Ini adalah perkara cukup penting untuk dijelaskan oleh kerajaan,” katanya lapor BH Online ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

Sabtu lalu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada KDN, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.

Menurut Zahid, UMNO menerima surat dua halaman itu bertarikh 3 Mac lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.

Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya akan mendedahkan surat RoS berkenaan bagi menoktahkan polemik berkaitan usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here