Jika surat ROS benar, maknanya usul ketika PAU UMNO tidak sah – Khairy soal keabsahan

0
259

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mempersoalkan keabsahan satu surat yang tular hari ini, mengenai keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkait usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

Khairy yang dipecat UMNO sebelum ini, menegaskan jika surat yang tular itu benar, bermakna usul dibawa perwakilan Negeri Sembilan ketika PAU lalu adalah tidak sah.

“Jika surat ini betul (surat), usul PAU UMNO yang dibawa oleh UMNO Rembau (bahagian Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk melindungi Presiden dan Timbalan Presiden dari pertandingan adalah tidak sah.

“Tetapi tindakan tindak sah ini mendapat pengecualian daripada Menteri Dalam Negeri,” katanya menerusi Instagram (IG) story beliau hari ini, lapor BH Online.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam satu kenyataan pagi tadi memaklumkan, KDN memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Beliau menjelaskan keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta 832 selepas kementeriannya meneliti mengenai ketetapan yang sudah dibuat oleh PAU 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 3 Mac lalu.

Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 antara lain memperincikan bahawa pertubuhan sudah melanggar secara bersengaja mana-mana peruntukan akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya atau mana-mana kaedahnya atau bahawa mana-mana ahli pertubuhan sudah lazim melanggar peruntukan sensyen 4(1) Akta Pertubuhan 1948 dengan apa-apa perbuatan atau penyebaran yang mana seksyen 3(1)(f) akta itu terpakai.

Sementara Seksyen 70 akta sama pula menjelaskan, menteri yang merujuk Menteri Dalam Negeri boleh menurut budi bicaranya dengan bertulis, mengecualikan mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah akta itu, daripada segala atau mana-mana jua daripada peruntukan-peruntukan akta itu.

UMNO akan mengadakan pemilihan bagi peringkat tertingginya pada 18 Mac depan iaitu jawatan Naib Presiden sehingga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selepas dua jawatan utamanya tidak dipertandingkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here