Tiada campur tangan kes mahkamah libat jemaah menteri – Anwar

0
192

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mengganggu sebarang proses undang-undang melibatkan Jemaah Menteri yang terlibat dengan kes mahkamah.

Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti ditegakkan atas prinsip negara hukum.

“Saya tidak mahu menghukum sebelum proses mahkamah yang telus dan bebas, tindakan tidak boleh diambil berdasarkan pendakwaan sebelum penghakiman.

“Hari ini ada Ahli Yang Berhormat (daripada pembangkang) yang didakwa (di mahkamah), adakah perlu letak jawatan semua kedudukan di dalam parti?

“Tentunya jawapannya belum ataupun tidak,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada pelantikan Jemaah Menteri yang mempunyai kes mahkamah akan mempengaruhi keputusan atau perbicaraan di mahkamah.

Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Anwar berkata beliau tidak akan meminta maaf sekiranya dilihat keras dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan pemunggahan kekayaan negara selain menegaskan tindakan yang diambil berdasarkan bukti dan tidak melibatkan kepentingan peribadi.

“Saya hanya boleh bagi jaminan ia tidak menjejaskan prinsip dan dasar Madani yang saya ketengahkan. Saya arahkan ambil tindakan (jika ada kesalahan), saya tidak peduli dari parti mana (individu berkenaan) termasuklah daripada Keadilan (PKR) sendiri.

“Saya nak bawa rakyat faham bahawa negara tidak boleh selamat tanpa nilai, tatasusila dan akhlak. Kita boleh maju dari segi ekonomi tetapi rosak dari segi tatakelola, tadbir urus yang juga libat rasuah dan salah guna kuasa,” kata beliau.

Anwar berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri telah menjalankan tugas dan amalan yang mematuhi prinsip dan dasar kerajaan.

“Ada satu kes yang dibawa kepada beliau di bawah syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah (kementerian) beliau yang mengusulkan beberapa tindakan segera tanpa tender, beliau telah menulis patuh pada arahan Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan semua mesti melalui proses tender,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Konsep Malaysia Madani adalah satu gagasan yang menyeluruh dan adil kepada semua rakyat di negara ini.

“Saya beri jaminan jangan gementar dengan istilah Arab (Madani), jangan prasangka kerana asalnya itu konsep Islam, saya jamin ia tetap untuk rakyat Malaysia keseluruhannya dan tetap keadilan bagi semua rakyat,” kata Anwar menjawab soalan tambahan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai bagaimana Perdana Menteri mahu menerapkan konsep Malaysia Madani dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here