Jurukimpal, guru jadi mangsa Macau Scam

0
178

SEORANG jurukimpal berputih mata apabila kerugian RM339,000, manakala seorang guru pula rugi RM285,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam menerusi dua kejadian berasingan.

Kejadian menimpa guru lelaki berusia 49 tahun berlaku pada 6 Januari lalu, manakala jurukimpal berusia 52 tahun diperdaya sindiket bermula pada 17 November tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam laporannya guru itu memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa kakitangan syarikat insurans.

“Individu itu mendakwa mangsa membuat tuntutan palsu selain terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram yang menyebabkan mangsa perlu membayar sejumlah RM280,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Mangsa yang takut kemudian membuat pinjaman bank sebanyak RM280,000 pada 12 Januari sebelum pinjaman itu diluluskan dan kesemua wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun Bank Islam.

“Pada masa sama, mangsa menukar kad ATM yang baharu sebagaimana yang diarahkan sindiket berkenaan dan berkongsi maklumat berkenaan dengan sindiket,” katanya pada sidang media di Kuala Krai, hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya menyedari ditipu beberapa hari selepas itu dan kerana curiga, dia membuat laporan polis manakala kerugian dialami sebanyak RM285,000,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, kejadian yang membabitkan jurukimpal menggunakan modus operandi hampir sama, dengan mangsa menerima panggilan telefon daripada anggota polis yang mengatakan mangsa bersalah kerana menjual kad pengenalan miliknya.

“Susulan itu, pengadu diminta membuat akaun bank baharu dengan memasukkan jumlah duit yang ada ke dalam akaun terbabit selain dilarang memaklumkan sesiapa mengenai panggilan diterima.

“Mangsa yang takut melakukan apa yang disuruh ‘Puan Aisyah’ dan melakukan 30 transaksi ke dalam akaun baharu yang dibuka dengan nilai keseluruhan RM339,000 selain berkongsi maklumat akaun bank kepada sindiket.

“Kejadian penipuan itu terbongkar selepas adik mangsa terdengar perbualan mangsa dengan sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang panggilan yang diterima. Sebarang kes membabitkan polis tidak diselesaikan menerusi panggilan telefon, sebaliknya kita akan hadir ke rumah mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here