Pendakwaan rasuah alih perhatian rakyat kegagalan kerajaan, kata Wan Saiful

0
141

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa dua pertuduhan rasuah dihadapinya adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian terhadap kegagalan kerajaan dalam mengeluarkan idea baharu bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menegaskan, kerajaan mewujudkan pertuduhan kes yang tidak sepatutnya untuk menutup kegagalan mereka.

Beliau menzahirkan rasa kesal kerana kerajaan sepatutnya memfokuskan kebajikan rakyat seperti kos sara hidup, harga barang keperluan melambung naik dan tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang disuarakan rakyat setiap hari daripada pelbagai peringkat.

“Saya bersyukur sebab ada satu pasukan peguam bela yang bagi saya kukuh dan akan dapat membuktikan bahawa pertuduhan yang dikenakan kepada saya tidak sepatutnya berlaku dan saya mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan.

“Saya yakin melalui proses mahkamah akan dapat membuktikan bahawa tiada sebarang kesalahan yang dilakukan. Saya penuh yakin bahawa mahkamah adalah mahkamah yang adil, yang kita ‘bina’ sewaktu dalam kerajaan dahulu.

“Kita pastikan ada kebebasan di sisi mahkamah dan akan membuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan, Insya-Allah. Saya juga berterima kasih kepada media dan kepemimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional (PN) sebab menunjukkan solidariti,” katanya pada sidang media di lobi mahkamah di ibu negara, hari ini, lapor BH Online.

Sebelum itu, Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Wan Saiful berkata, kerjasama penuh diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang proses siasatan kes berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dengan penuh dedikasi dan baik. Saya tiada rungutan apa yang dilakukan membabitkan proses siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here