Apabila Ramasamy dikatakan ‘buka tembelang’ sebenar DAP

0
152

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

KEDUDUKAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri, iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor dikatakan semakin goyah.

Malah, banyak pihak termasuk penganalisis dan pemerhati politik tanah air berpendapat tidak mustahil dalam PRN nanti, Perikatan Nasional (PN) diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bakal meraih kemenangan besar bukan sahaja di negeri yang diperintah Pas, tetapi juga di negeri dikuasai PH termasuk DAP di Pulau Pinang.

Ini kerana kata mereka, rakyat kini khususnya pengundi Melayu semakin sedar dan mula ‘membuka mata’ di sebalik pelbagai isu yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Sebagai contoh ialah isu terbaharu mengenai kenyataan dibangkitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Ramasamy yang menggesa Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum, iaitu Melayu.

Susulan kenyataan tersebut ia menimbulkan pelbagai kritikan hebat sama ada daripada parti kerajaan ataupun pihak pembangkang.

Walaupun Anwar sendiri telah menjelaskan kerajaannya tidak akan mengikut gesaan Ramasamy, namun ia belum memuaskan hati rakyat khususnya orang Melayu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sehubungan itu, ramai berpendapat di sebalik kenyataan tersebut, ia seolah-olah telah membuka tembelang dan sikap sebenar DAP terhadap orang Melayu.

Perkara ini sekaligus boleh mengembalikan trauma kepada pengundi Melayu termasuk ahli UMNO di peringkat akar umbi yang masih berpegang kepada prinsip ‘No Anwar No DAP’.

Kenyataan Ramasamy juga dikatakan semakin jelas menunjukkan bahawa DAP selama ini merupakan sebuah parti yang rasis terhadap orang Melayu dan Islam.

Apatah lagi, sebelum ini Ramasamy pernah terpalit dan dikaitkan dengan isu Zakir Naik.

Maka itu, banyak pihak percaya bahawa kerajaan perpaduan di bawah Anwar bakal menerima padah sekiranya tiada tindakan diambil ke atas pemimpin DAP tersebut.

Bagi meredakan keadaan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menyatakan Ramasamy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang dilihat hanya menambah masalah dalam kerajaan.

Anthony Loke

Sambil mengakui Ramasamy sebagai bermulut celupar, Loke meminta agar ia tidak perlu dilayan.

Kenyataan Loke itu dibuat selepas banyak kritikan terhadap Ramasamy termasuk daripada parti kerajaan sendiri yang meminta supaya Ramasamy dipecat.

Bagaimanapun Loke memberitahu bahawa DAP mempunyai saluran dan cara tersendiri bagi menguruskan isu tersebut.

Penulis juga berpendapat, isu seperti ini sepatutnya tidak perlu ditimbulkan oleh pemimpin parti politik kerana ia hanya boleh mengeruhkan keadaan, memecah belahkan masyarakat serta menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

Datuk Adnan Mat

Diharap Ramasamy dapat menerima penjelasan daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat yang mengatakan bahawa perkhidmatan awam di Malaysia selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti didakwa.

Sebaliknya kata Adnan, pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam perkhidmatan awam dibuat berasaskan merit serta kompetensi calon. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here