Warga Bangladesh dituduh palsu dokumen untuk perbaharui pasport

0
134

Oleh WRTAWAN SATU BERITA

SEORANG warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan memalsukan dokumen untuk memperbaharui pasport.

Bagaimanapun, tertuduh, Kazi Monir, 35, yang juga seorang pengurup wang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dalam Bahasa Inggeris terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Kazi didakwa memalsukan 10 dokumen dengan niat supaya dokumen palsu itu dapat digunakan bagi tujuan menipu.

Antara dokumen itu termasuk satu laporan polis Seberang Jaya; resit; invois cukai dan invois MyEG Services Berhad (MyEG) dan resit rasmi Jabatan Imigresen.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah premis di Lorong Usahaniaga 1, Taman Usahaniaga, dalam daerah Seberang Perai Tengah, di Bukit Mertajam kira-kira pukul 7.30 malam, 8 Februari lalu.

Jika sabit kesalahan, dia didakwa di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, V. Pushpa.

Terdahulu, Nor Shakila meminta mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana menyifatkan kesalahan memalsukan dokumen itu sebagai serius.

Bagaimanapun, Pushpa merayu anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan tertuduh telah tinggal di negara ini sejak 16 tahun lalu selain perlu menanggung ibu bapanya yang berada di Bangladesh.

Selain itu, isteri tertuduh yang kini berada di Bangladesh juga baru sahaja melahirkan cahaya mata sulung mereka semalam dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahlamah selain tertuduh perlu melaporkan diri sebanyak dua minggu sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here