Padah rempuh orang awam sedang minum, pemandu lori diberkas

0
132

TINDAKAN seorang pemandu lori yang dipercayai merempuh orang awam yang sedang minum di bahagian luar sebuah kedai makan di Taman Permai 3, Seremban membawa padah apabila dia diberkas polis semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pukul 8 malam.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu dan suspek mengaku sengaja mengundur lori dipandu dan cuba merempuh seorang penunggang motosikal di lokasi kejadian.

“Kejadian itu bagaimanapun sempat dirakam dan tular di media sosial. Berdasarkan siasatan awal, tindakan itu berpunca pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati terhadap penunggang motosikal terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun Nanda berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif mengambil dadah. Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang juga pemandu lori diburu polis kerana cuba merempuh orang awam di lokasi kejadian.

Menerusi rakaman tular di media sosial, suspek yang berada di dalam sebuah lori dilihat bertekak dengan pelanggan yang duduk di tepi jalan.

Dia kemudiannya terus memandu lori itu namun berhenti dan mengundurkan semula kenderaan sehingga merempuh kerusi dan meja menyebabkan pelanggan terkejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here