Perbicaraan 1MDB: Saksi percaya Najib tahu urusan akaun bank sendiri

0
197

BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank yang menguruskan lima akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, percaya bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO itu mengetahui dan dimaklumkan mengenai apa yang berlaku dalam akaunnya.

Saksi ke-41 pendakwaan, Joanna Yu Ging Ping yang ketika itu bertugas sebagai Pengurus Perhubungan Ambank, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (7 Februari 2023) bahawa Najib mengetahui transaksi dalam akaun berdasarkan tindakannya mengeluarkan cek dan menggunakan kad kredit.

Bagaimanapun, peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang ketika itu menyoal balas Ging Ping mencelah dengan menyatakan Najib berbuat demikian kerana menganggap wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu adalah derma daripada Arab Saudi.

Muhammad Shafee kemudian mempersoalkan adakah dengan menggunakan kad kredit dan mengeluarkan cek, anak guamnya mengetahui apa yang berlaku ke atas akaun berkenaan.

Ging Ping menjawab, ia menjadi tugas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada Najib.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ging Ping memberitahu mahkamah, setiap tindakannya berhubung transaksi wang keluar masuk dalam akaun Najib adalah atas arahan Jho Low.

Bagaimanapun, memetik laporan BH, pembelaan menyatakan saksi dan ahli perniagaan itu bersekongkol untuk menyalahgunakan akaun berkenaan.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan Najib sebenarnya tidak mengetahui apa yang berlaku dalam akaunnya berdasarkan pernah mengeluarkan cek melebihi baki dalam akaun.

Selepas disoal beberapa kali oleh peguam bela, saksi bersetuju Najib mungkin tidak mengetahui keadaan akaun banknya jika tidak dimaklumkan oleh Jho Low mengenai transaksi yang berlaku.

Ging Ping memberi keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Sementara itu, Ging Ping menyatakan tidak pernah terlintas padanya seseorang akan menggunakan akaun Najib yang diklasifikasikan sebagai individu terdedah secara politik bagi melindungi identiti oleh bank, untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram.

Saksi ketika itu disoal mengenai tindakan Jho Low yang menggunakan nama kod berbeza untuk merujuk kepada wang yang masuk dalam akaun berkenaan seperti ‘American Pie’ dan ‘Satay’.

Peguam menegaskan Ambank sepatutnya dimaklumkan mengenai tindakan itu yang menepati ciri-ciri aktiviti pengubahan wang haram.

Muhammad Shafee: Kamu percaya kepada Jho Low sepenuhnya?

Ging Ping: Ya

Muhammad Shafee: Tidak pernah terlintas di fikiran kamu bahawa transaksi itu berkaitan pengubahan wang haram?

Ging Ping: Saya tidak fikir seseorang akan menggunakan akaun perdana menteri untuk melakukan pengubahan wang haram, malah akaun itu diketahui Bank Negara Malaysia dan pihak atasan bank.

Terdahulu, saksi itu mengakui tidak berhubung dengan Najib dalam menguruskan akaun terbabit, sebaliknya hanya menerima arahan Jho Low kerana ahli perniagaan itu yang memaklumkan kepada pihak bank mengenai pembukaan akaun berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here