Taska diarah tutup, dera bayi hingga koma

0
176

SEBUAH taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang terbabit dengan kes penderaan seorang bayi lelaki sehingga koma awal Januari lalu diarah ditutup buat sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, berkata arahan penutupan sementara itu bermula 5 Januari lalu sebaik sahaja laporan polis diterima.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.

“Selepas kejadian itu, kita arahkan kepada pemilik taska untuk menutup sementara dan kita juga sudah hantar surat kepada Ketua Pengarah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) supaya mengeluarkan surat arahan bagi menutup sementara taska berkenaan.

“Kita pandang serius ini dan selepas ini jika berlaku lagi kejadian sama seperti ini, kita akan ambil tindakan yang lebih tegas,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Jalan Pesisir Payang Pulau Warisan di Kuala Terengganu, semalam.

Hanafiah berkata, semua pengusaha atau pemilik taska juga diminta meneliti kamera litar tertutup (CCTV) setiap hari bagi memantau situasi di premis berkenaan termasuk memantau petugas.

Katanya, pengusaha dan pemilik taska perlu berbuat demikian berbanding hanya mendengar laporan daripada pengasuh semata-mata bagi mendapatkan keadaan sebenar di premis berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah ini.

Pada Ahad lalu, pengasuh taska terbabit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tujuh pertuduhan mendera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here