BERSATU akan failkan ke mahkamah secepat mungkin

0
188

BERSATU dalam proses menyiapkan dokumen untuk dibawa dan difailkan ke pihak mahkamah sebelum tempoh yang ditetapkan iaitu tiga bulan.

Perkara itu merujuk kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengenai kedudukan semasa empat kerusi Parlimen di Sabah yang tidak perlu dikosongkan, selepas Ahli Parlimen berkenaan didakwa ‘melompat parti’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pihaknya akan menghantar dokumen tersebut secepat mungkin untuk diputuskan seadilnya oleh mahkamah.

“Sekarang kita sedang failkan semua dokumen yang diperlukan untuk dibawa ke mahkamah, kita akan segerakan perkara itu untuk dihantar ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai keputusan Johari terhadap empat kerusi Parlimen di Sabah iaitu Papar, Batu Sapi, Ranau serta Sipitang, yang tidak perlu dikosongkan dan bercadang untuk merujuk perkara itu ke mahkamah.

Muhyiddin dalam kenyataan mendakwa, keputusan dibuat Johari adalah berdasarkan tafsiran Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, namun menurutnya Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan parti.

Justeru kata Muhyiddin, Johari terkhilaf dalam membuat tafsiran serta keputusan.

Bagaimanapun, Johari dalam kenyataan kelmarin turut menjelaskan, keputusan berhubung empat ahli Parlimen berkenaan adalah muktamad dan segala justifikasi dan alasan berhubung keputusan itu telah dijelaskan olehnya dalam surat bertarikh 16 Januari yang dihantar kepada BERSATU.

“Seperti yang saya dah jawab (dalam surat kepada BERSATU), itulah dia (keputusan), muktamad.

“Terpulang kepada BERSATU (untuk rujuk ke mahkamah), mereka ada hak dan boleh menggunakan segala hak mereka,” katanya ringkas.

Mengulas lanjut, ketika ditanya adakah BERSATU yakin keputusan mahkamah akan berpihak kepadanya, Ro­nald yakin dengan keputusan mahkamah berdasarkan dokumen yang dihantar oleh pihaknya nanti.

“Kita percaya hanya pihak mahkamah sahaja boleh menentukan perkara ini dengan seadilnya berkaitan perlembagaan dengan Perkara 49 seperti yang disebutkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here