Laungan ‘sokong’, ‘boo’ sambut cadangan tak tanding dua jawatan tertinggi UMNO

0
222

DEWAN Merdeka hari ini gamat selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden dan mendapat reaksi berbeza daripada perwakilan.

“Usul cadangan saya ialah mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan,” kata Mohd Shukri yang kemudian disokong perwakilan Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial, beberapa perwakilan dilihat bangun selepas cadangan usul itu dibangkitkan sambil bertepuk tangan dengan suara laungan ‘setuju’ kedengaran menyokong cadangan itu.

Pada masa sama, ada kumpulan perwakilan dilihat membantah cadangan usul tambahan itu dengan laungan ‘boo’.

Dalam pada itu, perwakilan Wanita UMNO, Suziyana Mahayuddin, turut mengemukakan cadangan usul tambahan sama.

“Kita tahu mereka ini (presiden dan timbalan presiden) orang yang sungguh-sungguh nak buat kerja, jangan kita ada gesaan yang boleh ganggu kestabilan.

“Mohon menyokong usul Negeri Sembilan dan disokong perwakilan Terengganu untuk (jawatan) presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata usul tambahan itu dibenarkan jika mengikut aturan mesyuarat perhimpunan

“Perkara ini sudah diterangkan oleh Pengerusi Tetap (Tan Sri Badruddin Amiruldin) dalam persidangan tadi. Perkara ini dibolehkan dan mengikut aturan mesyuarat,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here